mutakhir

Padah 'wheelie', masuk balai...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA remaja lelaki berlumba sambil melakukan aksi 'wheelie' mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Chenderong Balai, Teluk Intan semalam.

Remaja berusia 14 hingga 15 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam Op Samseng Jalan pada 6.30 petang hingga 7 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, ketiga-tiga remaja itu masih bersekolah dan tidak mempunyai lesen.

Menurutnya, ketika ditahan mereka dikatakan sedang menguji kelajuan motosikal masing-masing sambil melakukan aksi berbahaya itu.

"Aksi itu bukan saja membahayakan diri mereka sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

"Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata, ketiga-tiga remaja berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis pada hari ini selepas proses dokumentasi selesai.

Menurutnya, BSPT Hilir Perak juga akan sentiasa memantau kegiatan samseng jalanan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar undang-undang.

"Polis akan menjalankan pemantauan bagi memastikan penduduk mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) biarpun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 6:45pm
d