mutakhir

Misteri pondok dalam hutan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

KEBAKARAN hutan bersebelahan ladang kelapa sawit di Bandar Springhill, di Port Dickson, hari ini membongkar penemuan sebuah pondok yang belum dikenal pasti pemiliknya.

Kejadian pada 2.48 petang itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson untuk membantu memadam kebakaran.

Seorang penduduk, Awangku Adanan, 45, berkata, ketika api menyala, dia ternampak seolah-olah kelibat individu menaiki motosikal keluar dari kawasan itu.

"Tetapi saya tidak pasti siapa individu itu.

"Selepas api berjaya dipadamkan dan sekitar kawasan itu terang baru saya nampak macam ada pondok di atas bukit berhampiran kawasan terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati selain pondok, kawasan itu turut ditanam sayur-sayuran.

Turut kelihatan, beberapa ekor ayam kampung serta reban dan dua ekor anjing.

Bagaimanapun, penghuni atau pemiliknya tidak kelihatan.

Dalam pada itu, sumber polis ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan membuat siasatan lanjut berhubung kewujudan pondok itu.

"Kita akan menyiasat sama ada berlaku aktiviti haram atau ia hanya dijadikan lokasi rehat penduduk sekitar berkebun di situ.

"Ini kerana terdapat beberapa jenis sayur yang di tanam dan ternakan di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi BBDP Port Dickson, Mustaza Sairan berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera untuk memadam kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Kebakaran membabitkan kawasan seluas 0.2 hektar, namun tidak membabitkan mangsa.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 9:01pm
d