mutakhir

Sayur, buah pun nak seludup!

Oleh Norsyazwani Nasri

POLIS menahan dua lelaki selepas didapati cuba menyeludup sayur-sayuran dan buah-buahan dari Indonesia ke Sarawak digagalkan, tengah hari ini.

Lelaki warga tempatan serta warga Indonesia yang masing-masing berusia berusia 27 dan 34 tahun ditahan ketika melalui laluan tidak sah di Suba Buan, Bau, 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, kedua-dua mereka ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau yang membuat pemantauan Ops Benteng.

"Lori membawa muatan sayur-sayuran dan buah-buahan seludup itu ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kampung Serasot menghala ke bandar Bau.

"Antara yang dirampas adalah 12 guni halia, 15 guni kacang buncis, 18 guni buah naga, lapan guni ubi keledek dan enam guni ubi keladi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, selain penahanan pemandu dan kelindan, lori yang digunakan untuk membawa barangan seludup itu turut dirampas.

"Kedua-dua mereka melakukan kesalahan Peraturan 8 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah dan Di Dalam Tempat Jangkitan) (No.7)

2020.

"Lelaki warga Indonesia turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan tamat tempoh," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 11:47pm
d