mutakhir

Lagi 'besi buruk' kena angkut

Oleh Rosyahaida Abdullah

DUA kereta Audi antara 10 kenderaan buruk dan tersadai diangkut ke depoh simpanan Taman Connaught, Cheras bagi membersihkan pemandangan di sekitar ibu kota, semalam.

Operasi bermula 8 pagi hingga 4 petang oleh sepasukan 13 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan aduan awam berhubung kewujudan kenderaan buruk tersadai sejak sekian lama.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, operasi dilakukan sekitar kawasan Bandar Tun Razak, Bukit Bintang, Batu, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Menurutnya, dua kenderaan termasuk van ditunda di Taman Sungai Besi, selain empat kereta di Jalan Loke Yew, Jalan Genting Klang, Taman Connaught dan Bandar Baru Sentul.

"DBKL turut melakukan tindakan angkut dan tunda ke atas kenderaan Naza Sutera di Bandar Baru Sentul dan Perodua Kembara di Flat Sri Terengganu.

"Manakala dua kenderaan jenis Audi di tepi Lebuhraya Timur-Barat dekat Taman Connaught di Cheras dan Ford di Jalan Pahang turut diangkut ke depoh.

"Tindakan ini dibuat bagi memastikan keadaan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa kemas, bebas daripada halangan dan tidak dicemari pemandangan kurang menarik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Hisham berkata, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 807 kenderaan buruk dan tersadai diangkut di 11 kawasan Parlimen dengan Parlimen Batu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 179 kenderaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 656 kenderaan terdiri seperti kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), van dan lori kecil, selain 151 motosikal," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan tersadai boleh menyalurkan aduan ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran atau ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1-800-88-3255.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 1:55pm
d