mutakhir

Penjarakan sosial satu-satunya 'vaksin' Covid-19 ketika ini

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SATU-SATUNYA 'vaksin' Covid-19 yang ada ketika ini adalah penjarakan sosial.

Demikian pandangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Noran Naqiah Hairi.

Beliau berkata, penjarakan sosial terbukti berkesan mengurangkan kes jangkitan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, perkara penting yang perlu diketahui dan difahami masyarakat adalah cara jangkitan Covid-19 itu.

"Sebelum ini kita dipaksa melakukan penjarakan sosial melalui penguatkuasaan PKP dan PKPB. Semua dikehendaki duduk di rumah sekali gus penjarakan itu berlaku.

"Sudah beberapa bulan kita dalam PKP dan sekarang kelonggaran diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kini tanggungjawab diberikan kepada individu sendiri.

"Amalkan penjarakan sosial kerana hanya itu ubat Covid-19 yang ada selagi vaksin dan anti-viral terbukti berkesan ditemui," katanya.

Beliau mengulas mengenai satu video tular menunjukkan pengunjung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak mengamalkan penjarakan sosial di Zoo Negara.

PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos memberi lebih banyak kelonggaran kepada rakyat bagi menjalani aktiviti harian di samping mematuhi SOP ditetapkan.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun kelonggaran diberikan namun masyarakat perlu mengamalkan normal baharu kehidupan.

"Saya menyeru orang ramai yang berkunjung ke premis perniagaan menggunakan QR Code atau mengisi maklumat peribadi untuk membolehkan pengesanan kontak jika ada jangkitan.

"Apa saya perhatikan ada segelintir mengambil sikap sambil lewa tidak mengisi maklumat peribadi. Perlu diketahui Covid-19 masih ada di dunia bersama kita," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 2:22pm
d