mutakhir

Buat ujian calitan sebelum pulang ke Malaysia [METROTV]

Oleh Wartawan HM

RAKYAT Malaysia di luar negara yang mahu pulang dan tidak mahu menunggu lama di lapangan terbang, dibenar melakukan ujian calitan Covid-19 lebih awal.

"Ujian itu boleh dilakukan mereka tiga hari sebelum pulang ke tanah air dan hanya perlu menunjukkan sijil keputusan mengesahkan negatif Covid-19 apabila tiba," kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pilihan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri selepas isu berkaitan ujian calitan di lapangan terbang dibangkitkan.

Katanya, terdapat kebimbangan proses menunggu ujian calitan itu lebih lama, sekiranya ramai rakyat pulang serentak disebabkan pembukaan lebih banyak jadual penerbangan dari luar negara.

"Kita bimbang jika ramai pulang serentak maka, jangka masa menunggu keputusan itu lebih lama dan ada kemungkinan mereka akan dihantar ke institut latihan awam sehingga keputusan diperoleh.

"Jadi sebagai pilihan kepada mereka yang tidak mahu menunggu lama, mereka disarankan buat ujian saringan sebelum kembali ke tanah air," katanya.

Ismail Sabri berkata, rakyat yang pulang dengan sijil keputusan negatif Covid-19 akan dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, mereka tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memuat turun aplikasi MySejahtera, memakai gelang kuarantin dan tidak boleh keluar rumah kerana perlu disaring buat kali kedua.

"Ini akan lebih memudahkan (apabila buat ujian sebelum pulang ke tanah air). Bagi yang tidak buat, mereka perlu menjalani ujian calitan di lapangan terbang, (jadi) kena tunggu lah sekiranya ramai.

"Perlu bersedia jika dihantar ke pusat kuarantin dan sebagainya sementara menunggu hasil keputusan ujian masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 3:29pm
    d