mutakhir

Semua rumah ibadat bukan Islam dibenar dibuka

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MESYUARAT Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, bersetuju membenarkan 5,230 rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara dibuka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kebenaran dan permulaan operasi itu tertakluk kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara mengadakan perbincangan bersama 16 badan dan persatuan agama yang membuat permohonan bagi rumah ibadat bukan Islam untuk beroperasi.

Katanya, walaupun kebenaran diberikan tetapi pihak pengurusan masih tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu kapasiti kehadiran satu pertiga daripada keluasan rumah ibadat.

"Rumah ibadat itu boleh beroperasi pada hari dan masa seperti biasa dengan kehadiran satu pertiga dan SOP lain yang ditetapkan.

"Ia termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihak jawatankuasa rumah ibadat berkenaan juga perlu memeriksa suhu badan pengunjung dan mengamalkan penjarakan sosial.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan hanya 171 rumah ibadat bukan Islam beroperasi pada hari tertentu yang ditetapkan kerajaan.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:24pm
d