mutakhir

Dicekup lepas wheelie...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELAJAR kolej antara lima mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Dataran Merdeka menghala Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi membabitkan seramai 12 pegawai dan anggota diketuai oleh Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil risikan mendapati lima lelaki berusia 18 hingga 24 tahun itu menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi mengangkat tayar hadapan atau 'wheelie'.

"Seorang daripada mereka adalah pelajar kolej berusia 18 tahun serta dua lagi individu bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di ibu kota.

"Semakan juga mendapati dua daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu (B2)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, polis turut mengeluarkan 11 saman atas pelbagai kesalahan seperti mengubah suai enjin dan ekzos.

"Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa cermin sisi dan lampu depan serta belakang," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:40pm
d