mutakhir

Lepaskan ikan baung, udang galah bersihkan sungai

Oleh Adnan Ibrahim

KIRA-kira 100 kilogram ikan baung dan 30 kilogram udang galah dilepaskan ke dalam Sungai Sembrong, Kluang sebagai langkah pemulihan selepas sungai terbabit tercemar akibat limpahan minyak kotor sebuah kilang kelapa sawit, awal bulan ini.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok Halim Jahari berkata, pihaknya bekerjasama dengan peraih yang menjadi orang tengah kepada penduduk yang bekerja sebagai nelayan darat untuk mendapatkan bekalan ikan dan udang berkenaan.

Katanya, ikan dan udang berkenaan ditangkap menggunakan gombang di Sungai Kahang sebelum dipindahkan ke Sungai Sembrong bagi membolehkan ia membiak di sungai berkenaan selepas berlakunya pencemaran baru-baru ini.

"Inisiatif ini diambil berikutan perbincangan penduduk yang bekerja sebagai nelayan dengan pihak peraih yang mahukan sumber perikanan di Sungai Sembrong kembali bernyawa bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan setiap kali keluar menangkap ikan.

"Dengan cara ini, pihak peraih juga secara tidak langsung mendapat manfaat sama kerana dapat bekalan ikan segar setiap hari dan tidak hanya bergantung harap kepada sumber dari Sungai Kahang semata-mata," katanya selepas menyaksikan pelepasan ikan baung dan udang galah oleh peraih ikan air tawar, Wong Sy Dean, 49, di jeti Kampung Orang Asli Sedohok, hari ini.

Halim turut menggesa pihak berkaitan seperti Jabatan Perikanan agar dapat membantu pihaknya membekalkan benih ikan air tawar yang bermutu tinggi untuk dilepaskan di sungai terbabit.

"Dengan ada ikan seperti jelawat, tapah, patin serta udang galah bersaiz besar, pasti ianya secara tidak langsung membantu penduduk menjana pendapatan lebih lumayan.

"Namun dalam masa sama, pihak berkaitan perlu sentiasa memantau serta mengenakan tindakan sewajarnya kepada pengusaha industri agar tidak sewenangnya mencemarkan Sungai Sembrong," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 5:01pm
d