mutakhir

Curi buah durian dengan potong tangkai

Oleh Ahmad Ismail

TAKTIK memotong tangkai buah durian di dusun sebelum melarikannya dikatakan modus operandi terbaharu pencuri susulan beberapa kes kecurian buah terbabit di sekitar Jementah, Segamat.

Pemilik dusun durian, Samsuri Ahmad, 54, berkata, kehilangan secara misteri buah durian bernilai tinggi di dahan pokok yang dilaporkan pekebun sebelum ini membongkar taktik licik pelaku perbuatan terbabit.

"Berdasarkan modus operandi digunakan, mereka dipercayai mula mencuri sejak beberapa minggu lalu," katanya ketika ditemui di Jementah, hari ini.

Menurutnya, pencuri memotong di bahagian tangkai durian yang matang atau dahan pokok berbuah lebat sebelum buah itu diperam di kawasan semak hingga mengeluarkan bauan sebelum menjualnya.

"Kesan keratan dan penemuan beberapa biji durian disembunyikan dalam semak membongkar taktik dilakukan pencuri itu.

"Antara jenama durian bernilai tinggi kerap jadi sasaran ialah musang king, IOI, duri hitam dan durian saka yang dijual antara RM80 hingga ratusan ringgit setiap kilogram," katanya.

Samsuri berkata, penggunaan pondok durian dalam dusun untuk kegunaan bermalam dan mengutip buah semakin tidak popular di kalangan pekebun.

"Hanya mereka yang memajak durian akan mengupah individu bermalam di pondok durian berikutan bimbang kerugian hasil kecurian kerana sudah melabur modal awal pemajakan.

"Lokasi dusun yang terpencil turut menyebabkan pencuri durian itu berani melarikan buah terbabit," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 5:29pm
d