mutakhir

KBS cadang belia usahakan pertanian nilai tinggi di IKLBS

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bercadang membuka ruang yang lebih luas bagi belia mengusahakan pertanian nilai tinggi di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) terpilih.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata KBS juga bersedia membantu belia yang terkesan akibat Covid-19 menggunakan kemudahan hab pemprosesan makanan zon utara yang terletak di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah.

"Usaha itu adalah satu daripada inisiatif KBS dalam usaha kolaborasi rentas kementerian yang akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta belia iaitu 68 peratus daripada tenaga kerja yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

"Sebelum ini, KBS berkunjung ke Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

"Hari ini siri kolaborasi rentas kementerian diperluaskan dengan kunjungan ke Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga membangkitkan aspirasi belia serta sinergi melalui kerjasama strategik KBS - MAFI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee itu menjurus kepada inisiatif yang mengakar kepada minat dan kehendak belia serta adaptasi teknologi baharu yang boleh dimainkan oleh belia secara keseluruhan termasuklah rantaian ekonomi yang berkaitan dengan sektor pertanian dan industri makanan.

"Program sedia ada seperti Program Agropreneur Muda dalam kalangan belia akan diberi nafas baharu dengan penglibatan KBS secara aktif...pertanian masa hadapan adalah berteraskan kepada teknologi dan kami secara kolektif bersetuju bahawa ini adalah langkah ke hadapan yang perlu kita gandingkan bersama.

"Selain itu, KBS dan MAFI sedang memperhalusi beberapa program bersama di peringkat pegawai dan akan diumumkan untuk manfaat belia tidak lama lagi iaitu program-program ini termasuklah yang diumumkan dalam PENJANA untuk memaksimumkan pembabitan belia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 6:33pm
    d