mutakhir

Bekas muazzin rindu laung azan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEJADIAN terjatuh dari bumbung rumah mengubah kehidupan seorang muazzin yang kini tidak lagi mampu berjalan akibat masalah saraf.

Hassan Abdullah, 73, kini hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan perlu dibantu isteri Zainab Samsu, 65, serta anak setiap hari.

Menurut Zainab, selain pernah menjadi muazzin di surau kampung, suaminya turut bekerja sebagai tukang rumah, namun kecelakaan menimpanya apabila terjatuh beberapa tahun lalu sehingga tidak lagi mampu bergerak.

Katanya, berikutan itu, dia terpaksa mengambil alih tugas mencari rezeki dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti menoreh getah dan mengusahakan sawah.

"Pendapatan menoreh getah tidak menentu, kadang-kadang sebulan saya hanya dapat RM200 ketika musim hujan.

"Dengan duit itu saya membesarkan enam anak dan kini, ada antara mereka yang membantu mengerjakan sawah dan menoreh getah, selain ada yang sudah berkeluarga.

"Saya bersyukur kerana Allah masih kurniakan kudrat untuk saya menoreh sehingga sekarang dan dibantu anak, walaupun pendapatan tidak seberapa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchor, Pokok Sena, di Alor Setar.

Zainab berkata, dia kini merasa sedikit lega apabila mendapat wang bantuan zakat sebanyak RM300 sejak setahun lalu.

Katanya, keadaan suami bertambah teruk dan memerlukan penjagaan rapi apabila terjatuh di dalam tandas beberapa tahun lalu, namun ia tidak menghalang dia mendirikan solat.

"Dahulu suami sering ke surau melaungkan azan, sekarang pendengarannya agak kurang jelas selain turut menghidap penyakit darah tinggi dan masalah buah pinggang, selain perlu diperiksa di hospital setiap dua bulan sekali.

"Suami pernah beritahu dia rindu melaungkan azan semula dan pergi ke masjid menunggang motosikal seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum terjatuh," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 9:32am
d