mutakhir

Peniaga durian dikompaun gagal pamer tanda harga

Oleh Mohd Rafi Mamat

PENIAGA durian tepi jalan di Kampung Batu Balai, Jerantut menjadi individu pertama di Pahang yang dikompaun RM1,000 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, pihaknya terpaksa bertindak tegas terhadap peniaga terbabit bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang.

"Semua peniaga tak kira menjual produk apa termasuk buah-buahan, kuih, keperluan harian dan sebagainya perlu mematuhi peraturan terutama membabitkan tanda harga.

"Ia merangkumi semua lokasi perniagaan sama ada di tepi jalan, warung atau premis, tanda harga perlu diletakkan secara jelas untuk memudahkan pengguna," katanya di Kuantan hari ini.

Menurutnya, sempena musim durian kini pegawai KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan di semua lokasi jualan raja buah bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga, dan tindakan kompaun akan dikenakan pada peniaga yang degil.

Beliau berkata, difahamkan harga durian jenis kampung dan klon tidak sama di setiap daerah, antara RM8 hingga RM15 sekilogram (kg) jenis kampung dan RM17 hingga RM50 kg jenis klon.

Ahmad Fitri berkata, pihaknya menasihatkan peniaga durian di Pahang supaya tidak menjual raja buah itu pada harga terlalu mahal hingga membebankan penggemarnya

Katanya, peniaga durian yang gagal meletak tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, kompaun sebanyak RM1,000.

"Saya mengingatkan peniaga durian dan hasil pertanian lain supaya dapat mematuhi peraturan ditetapkan terutama membabitkan tanda harga termasuk alat timbang yang digunakan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP daerah akan terus melakukan pemeriksaan secara berterusan bagi mengesan peniaga yang degil," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 10:43am
d