mutakhir

Pasar raya 'tamak' dikenakan tindakan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBUAH pasar raya terkemuka di Setiawangsa dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur kerana memiliki barang kawalan berjadual melebihi had.

Pengusaha premis itu juga dikesan tidak menyelenggara buku stok.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, berikutan kesalahan itu pelbagai barangan kawalan bernilai RM50,743.40 disita mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Saya melakukan serbuan bersama tujuh pegawai penguat kuasa secara mengejut di premis berkenaan.

"Hasil serbuan itu, kita menyita sebanyak 1,767 kilogram (kg) minyak masak, tepung gandum (2,538 kg) dan gula (1,397 kg)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan bagi menilai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap pasar raya itu yang diluluskan beroperasi 24 jam pada Jumaat lalu.

Katanya, premis berkenaan didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan berikutan ketidakfahaman pemilik pasar raya mengenai prosedur berkenaan.

"Bagaimanapun KPDNHEP memberi bimbingan dan penerangan. Pemilik pasar raya mengambil langkah serta-merta pada hari sama dan melaksanakan SOP ditetapkan," katanya.

Beliau menasihati semua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mematuhi SOP untuk menggunakan aplikasi MySejahtera bagi urusan pendaftaran kemasukan.

Untuk rekod, sebanyak 3,655 premis diperiksa KPDNHEP Kuala Lumpur bagi tujuan pemantauan pelaksanaan SOP PKP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Siasatan lanjut ke atas pemilik perniagaan dijalankan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual melebihi had dibenarkan dalam lesen dan Peraturan 13(1) Perintah-perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu tidak menyelenggara buku stok.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 1:46pm
d