mutakhir

Perketat kawalan sempadan Sarawak, Kalimantan

Oleh Norsyazwani Nasri

POLIS Sarawak terus memperketatkan kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan dalam usaha menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Rela difokuskan di Lundu, Baudan Serian.

"Kawasan ini adalah laluan utama Patu ke Sarawak kerana terdapat banyak laluan tikus.

"Dengan adanya SJR ini kita dapat mengelak Pati masuk ke Sarawak," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan upacara serah terima tugas antara Asisten Superintendan Rafhan Kepli yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan kepada Deputi Superintendan Sudirman Kram sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

Jawatan itu sebelum ini disandang Superintendan Lee Chong Chern yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Aidi berkata, setakat ini, tiga lelaki warga tempatan bersama 13 Pati Indonesia ditangkap melalui SJR berasingan yang dilakukan.

"Ketiga-tiga suspek cuba membawa masuk semua Pati terbabit menggunakan kenderaan persendirian untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, cubaan mereka dikesan dan dipatahkan pihak polis," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 2:11pm
d