mutakhir

Bosan sikap pengotor pekerja asing

Oleh Hassan Omar

PEKERJA warga asing yang menghuni asrama di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah di Pengkalan Balak, Masjid Tanah di Alor Gajah didakwa pengotor apabila hidup dalam persekitaran busuk dan meloyakan.

Ini kerana sampah-sarap dibiarkan di tepi longkang berhampiran asrama bukan dibuang ke dalam tong sampah disediakan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Keadaan itu menyebabkan kawasan longgokan sampah di asrama yang menempatkan kira-kira 1,000 pekerja turut dihurungi lalat.

Yang Dipertua MPAG Mohd Fadhil Hassan berkata, keadaan kotor berkenaan dikesan dalam pemeriksaan mengejut yang dilakukan, hari ini selepas menerima aduan awam.

Menurutnya, pihaknya juga mengeluarkan notis amaran bagi mengarahkan majikan pekerja terbabit supaya mengambil tindakan segera membersihkan longgokan sampah itu.

"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan majikan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM250,000.

"Selain itu, tindakan juga boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 76 akta sama kerana kesalahan melonggokkan sampah tanpa kebenaran.

"Keadaan di asrama ini amat kotor kerana sampah-sarap dilonggokkan begitu sahaja sekali gus boleh menjejaskan kesihatan penghuni sekitar kawasan ini," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Abdul Mutalib.

Dalam pemeriksaan itu, pekerja asing terbabit berdolak dalih siapa yang perlu bertanggungjawab dengan keadaan kotor dan berbau busuk itu.

Sementara itu Md Rawi berkata, pihak majikan seharusnya memastikan pekerja mereka sentiasa berdisiplin dalam memelihara kebersihan, sama ada di tempat kerja atau asrama.

"Kita tidak mahu kekotoran yang berpunca daripada pekerja asing menyebabkan rakyat tempatan menderita penyakit seperti denggi, batuk kering dan seumpamanya," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 2:31pm
d