mutakhir

Kaki terjulur, lelaki ditahan AADK

Oleh Nor Farhani Che Ad

LELAKI yang cuba bersembunyi dalam almari pakaian bagi mengelakkan diri ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) gagal dalam serbuan di rumah teman wanitanya di Permatang Buluh di Yan, pagi hari ini.

Kehadiran lelaki berusia 25 tahun itu berjaya dikesan selepas anggota penguat kuasa kerana melihat kakinya terjulur.

Ketua AADK Daerah Yan Mohamad Ramli, berkata operasi selama satu jam setengah bermula 9.30 pagi itu diadakan bagi mengesan empat orang kena tahan (OKT) yang gagal hadir jamin.

"Atas maklumat orang awam, lelaki terbabit dikatakan menjalankan aktiviti penagihan dadah di rumah teman wanitanya yang juga seorang OKT dikehendaki AADK sejak empat hari lalu.

"Ketika anggota operasi tiba di rumah berkenaan, wanita itu menolak dakwaan lelaki terbabit tiada di rumahnya dan anggota melakukan pemeriksaan lanjut di bilik ibunya sebelum ternampak kaki suspek terjulur keluar dari almari pakaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan turut menemui satu balang dipercayai berisi syabu yang digunakan bagi tujuan penagihan dadah milik lelaki berkenaan.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

"Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

"Empat lagi OKT berusia 25 hingga 38 tahun yang berjaya ditahan di lokasi berasingan sekitar daerah ini akan didakwa di Mahkamah Gurun mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 3:04pm
d