mutakhir

Dua ibu rayu sumbangan pembedahan jantung anak

Oleh Rosyahaida Abdullah

LEBIH dua tahun menanti kehadiran cahaya mata pertama selepas mendirikan rumah tangga pada 2017, Fhahimah Abdul Aziz, 23, kini diuji pula dengan masalah jantung yang dihadapi anaknya sejurus dilahirkan.

Bayinya, Muhammad Fawwaz Mahirt yang kini berusia tiga bulan dikesan menghidap masalah jantung berlubang ketika berusia dua hari sewaktu dibawa ke sebuah hospital di Kelantan untuk menjalani pemeriksaan susulan demam kuning.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaan kesihatan anaknya yang memerlukan pembedahan segera dengan kos mencecah ratusan ribu ringgit, dia mengakui seakan menemui jalan buntu.

"Suami saya hanyalah penjaja aiskrim yang cuma memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan keluarga kami bukan orang senang jadi kami tidak tergamak meminjam daripada mereka yang mempunyai bebanan kewangan masing-masing.

"Namun, sebolehnya saya juga tidak mahu meminta seperti ini tetapi saya tidak sanggup merisikokan nyawa Muhammad Fawwaz.

"Dia (Muhammad Fawwaz) masih kecil dan tidak tahu apa-apa, ibu mana yang sanggup melihat anaknya seawal usia beberapa hari terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan seperti ini," katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, pembedahan untuk menutup lubang pada jantung Muhammad Fawwaz dianggarkan berjumlah RM100,000 dan akan dilakukan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

Seorang lagi ibu, Rahadah Pujin, 42, turut merayu sumbangan berjumlah RM60,000 buat anaknya yang turut memerlukan pembedahan jantung pada kadar segera.

Katanya, anak keduanya, Nurfarhah Aleyah Jorizam, 10, dikesan mengalami masalah injap jantung longgar dua tahun lalu apabila kanak-kanak mengalami demam panas berpanjangan.

"Dia bukan saja demam malah muntah-muntah dan Nurfarhah juga tidak dapat menggerakkan kakinya menyebabkan doktor di Ranau merujuk kes ini kepada klinik pakar di Kundasang (Sabah).

"Doktor kemudian mengesan bunyi yang tidak normal pada jantung anak saya sebelum mengesahkan injap jantung Nurfarhah longgar dan jantungnya juga dalam keadaan bengkak.

"Doktor meminta saya mencari jalan supaya pembedahan ini dapat disegerakan kerana dikhuatiri jangkitan kuman boleh berlaku dan mengancam nyawa anak saya jika ditangguh lebih lama," katanya.

Rahadah berkata, ketika ini, dia cuma bekerja sebagai pembantu pengurusan murid manakala suami hanyalah pekebun kecil yang mana pendapatan mereka sekeluarga adalah sekitar RM3,800 sebulan.

"Nurfarhah mempunyai seorang kakak dan tiga lagi adik. Mujur keempat-empat mereka tiada masalah kesihatan kronik seperti ini.

"Tetapi saya tetap risau kerana Nurfarhah seorang yang sangat aktif. Melihat dia terlantar begini menjadikan saya hilang punca untuk menguruskan keluarga seperti selalu.

"Kini, pada usianya hampir 10 tahun, beratnya cuma 20 kilogram malah ketinggiannya juga seperti tidak banyak naik kesan daripada masalah yang dialami," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan melakukan pemindahan ke akaun semasa Maybank bernombor 5141-0532-3170 dan meletakkan nama pesakit di ruangan Rujukan Penerima (Recipients Reference) atau Maklumat Pembayaran Lain (Other Payment Details).

Sumbangan juga boleh dibuat dalam bentuk cek kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 3:08pm
d