mutakhir

Padah tak letak tanda harga durian

Oleh Hassan Omar

DUA peniaga durian di daerah Jasin masing-masing didenda RM1,000 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Dalam pemeriksaan dijalankan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka di beberapa lokasi di Jasin hari ini, kedua-dua peniaga berusia dalam lingkungan 40-an itu didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan dengan tidak mempamerkan tanda harga pada durian yang dijual.

Pengarahnya KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, pemeriksaan itu dijalankan berikutan aduan pengguna susulan sesetengah peniaga durian tidak meletakkan tanda harga pada jualan mereka sehingga menimbulkan syak cuba mengeksploitasi harga.

Katanya, denda berkenaan dikenakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 yang memperuntukkan denda RM1,000.

"Kebanyakan pengguna mendakwa ada peniaga yang sengaja tidak mahu meletakkan tanda harga kerana jika mereka meletakkannya, mereka bimbang pelanggan tidak mahu singgah atau berhenti untuk membeli durian mereka.

"Selain itu, pengguna juga mendakwa peniaga berbuat demikian kerana ingin mengenakan harga yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, tumpuan pemeriksaan pegawai kementerian itu diberikan kepada penjualan durian kerana musim raja buah itu sudah bermula sejak minggu lalu dan dijangka berterusan hingga hujung Ogos depan.

Katanya, pemeriksaan itu bukan untuk menganiaya peniaga durian, sebaliknya bagi menjaga kepentingan pengguna dan peniaga kerana kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.

Norena turut meminta pengguna supaya membuat aduan kepada pejabat kementerian itu jika mengesyaki ada peniaga durian mengeksploitasi mereka dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 3:45pm
d