mutakhir

335 pakaian, kasut Adidas tiruan dirampas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DAKWA menjual barang tulen dan barangan terbuang kilang (reject) menjadi taktik sebuah premis menjual pakaian dan kasut tiruan berjenama Adidas di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Petaling Jaya.

Bagaimanapun taktik mereka terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu premis itu, hari ini dan merampas 335 pakaian dan kasut berjenama Adidas yang disyaki tiruan membabitkan nilai rampasan RM23,680.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor menjalankan Ops Jeriji di premis itu bermula 11 pagi.

Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati premis beroperasi sejak Mei lalu dan dipercayai barangan diperoleh daripada negara jiran.

"Modus operandi ialah pihak premis menjual dengan memaklumkan kepada pelanggan bahawa barangan itu adalah tulen dan barangan terbuang (reject) daripada kilang pengeluar.

"Seorang lelaki mengaku sebagai pekerja syarikat direkodkan keterangan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harga barangan itu dijual antara RM40 ke RM400 mengikut jenis.

"Kita ingin menasihatkan kepada peniaga bahawa sentiasa mematuhi segala perundangan yang ditetapkan, termasuklah tidak menjual barangan yang cap dagangan dipakaikan dengan salah (tiruan) bagi mengelakkan tindakan oleh pihak KPDNHEP.

"Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan syarikat boleh didenda maksimum tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barangan yang cap dagangannya dipakaikan dengan salah atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 5:43pm
d