mutakhir

Ledakan alga punca ikan mati

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

JABATAN Perikanan Perak mengesan berlaku kes terbaru kematian ikan sangkar di Kuala Gulan dekat Kuala Kurau semalam, disebabkan spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak Zaki Mokri berkata, ledakan alga itu turut dikesan menular di perairan Bagan Panchor, Pantai Remis dekat Manjung berikutan pergerakan arus.

"Arus dari Kuala Kurau bergerak ke selatan hingga ke perairan Bagan Panchor semalam dan kemudiannya bergerak semula ke utara serta menyebabkan berlaku kematian kira-kira di 20 ikan sangkar di Kuala Gula.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kematian ikan yang dilaporkan berlaku di Bagan Panchor dan kes di Kuala Gula malam tadi adalah yang pertama dikesan selepas kejadian ikan mati serta terapung yang tular sebelum ini," katanya selepas meninjau kerja penandaan 11 lot kebun kerang di Jeti Perikanan di Parit Haji Dolah, Kampung Sungai Tiram, Lekir dekat Sitiawan hari ini.

Menurutnya, penternak disarankan memasang sistem pengudaraan yang bertujuan untuk meningkatkan kadar oksigen dalam sangkar ikan.

"Ini kerana ledakan alga itu membabitkan persaingan oksigen yang akan menyebabkan ikan dalam sangkar akan mati.

"Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya mengurangkan kadar kepadatan ikan dalam setiap petak sangkar dan terus menjual ikan yang sudah boleh dijual," katanya.

Menurut Zaki, ledakan alga adalah fenomena biasa yang berlaku di seluruh dunia, pihaknya akan terus memantau pergerakan spesies berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian ikan mati dan terapung yang didakwa berlaku di perairan Perak dan Pulau Pinang menerusi beberapa video tular adalah ikan yang hanyut dari sangkar disebabkan ledakan alga.

Faktor itu menyebabkan ikan sukar bernafas dan berenang di permukaan air kemudian menjadi tidak stabil sebelum mati.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 5:48pm
d