mutakhir

'Tolonglah, kami sudah lemas'

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

"KAMI (tukang urut orang buta) berharap kerajaan tidak terlepas pandang dan menolong kami yang kini diibaratkan seperti lemas dan terkapai-kapai," luah Presiden Persatuan Juruurut Buta Bertauliah, Lee Sheng Chow.

Menurutnya, dia serta tukang urut lain tidak tahu berapa lama lagi mampu bertahan kerana sejak pandemik Covid-19 mereka tidak menerima bantuan biarpun sudah memohon beberapa pinjaman mikro yang ditawarkan.

"Penularan virus ini terjadi secara tiba-tiba, kami sendiri tidak mempunyai persediaan dan tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.

"Sebagai presiden, ramai ahli yang menghubungi saya bertanyakan bagaimana mereka boleh 'survive'. Saya harap kerajaan mengotakan janji mereka bahawa tiada siapa yang akan terlepas untuk dibantu.

"Jangan tinggalkan kami di belakang, kami perlukan 'tangan' untuk membantu kami keluar daripada kemelut ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, bayangkan antara 3,000 hingga 5,000 orang buta yang bekerja sebagai tukang urut dan hanya dibayar gaji berdasarkan komisen kini terjejas.

"Mereka ini tiada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) atau KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan hanya 1,000 daripada mereka terlatih serta mempunyai pelanggan tetap.

"Namun, jika perkhidmatan ini dibenarkan beroperasi sepenuhnya pun, kami percaya hanya 10 hingga 25 peratus pelanggan yang akan datang kerana masyarakat masih belum berani dan yakin dengan situasi sekarang," katanya.

Pengusaha Maju Therapy Zone, Hasidi Hassan juga sependapat dan mengharapkan kerajaan sekurang-kurangnya memberi subsidi kepada mereka.

"Kami sebagai pengusaha sendiri masih perlu membayar sewa premis dan utiliti, walaupun ada diskaun yang diberi tetapi kami sekarang seperti kehilangan pekerjaan sebab tak mampu membuat kerja lain.

"Saya harap semua pengusaha diberi moratorium sewa selama enam bulan sekurang-kurangnya. Jadi, kita tidak perlu tanggung kos 'overhead' kedai dan walaupun hanya 10 hingga 25 peratus pelanggan yang datang.

"Semua kini terkesan dan berada dalam kesempitan kerana mereka kini hanya bergantung harap melalui Elaun Pekerja Cacat (EPC) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM400 sebulan.

"Mereka juga terpaksa membayar sewa bilik menggunakan wang EPC itu," katanya yang juga berharap EPC dapat dinaikkan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran supaya skim di bawah Perkeso yang membabitkan elaun latihan atau bekerja semula juga dapat diberi kepada golongan orang kurang upaya seperti mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 6:04pm
    d