mutakhir

10 along dicekup

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS menumpaskan sindiket along dengan penahanan 10 lelaki di sebuah premis di Bandar Botanic, Klang, semalam susulan laporan dibuat mangsa yang meminjam RM35,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu premis itu jam 10.20 malam melalui Ops Vulture.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa di Sri Damansara dan mereka yang ditahan berusia 18 hingga 27 tahun.

"Pengadu membuat pinjaman wang terhadap 27 along yang jumlah keseluruhan pinjaman RM35,000.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini bergiat aktif selama lebih kurang tiga tahun dan terbabit dengan pelbagai kes jenayah di kawasan Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semua tangkapan ditahan reman selama tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

"Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas suspek bagi melihat pembabitan mereka terutamanya berkaitan pemberian pinjaman di kawasan IPD Petaling Jaya," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 8:04pm
d