mutakhir

Penyelewengan gas LPG subsidi tumpas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEGIATAN premis di Bukit Dukung, Kajang yang disyaki melakukan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, serbuan dilakukan bersama polis sempena Op Tiris kira-kira 5 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan menemui 596 tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg pelbagai jenama.

"Kami turut merampas pelbagai dokumen berkaitan serta sebuah lori tiga tan dan nilai keseluruhan rampasan RM95,210.80," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu aktif sejak dua tahun lalu, manakala semakan terhadap tapak premis mendapati ia tidak mendapat kelulusan tanah industri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, pihaknya percaya tong gas itu untuk edaran sekitar Kajang dan setakat ini sudah merekod keterangan dua orang iaitu pekerja serta pemilik premis.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 11:27am
d