mutakhir

Padah guna nombor pendaftaran 'fancy'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan notis ke atas 12,694 pemilik kenderaan sepanjang tahun ini kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini juga sebanyak 7,455 kenderaan dikompaun atas kesalahan itu.

"Mereka yang menggunakan nombor 'fancy' mempunyai interpretasi sendiri yang kemungkinan ada maksud namun ia menyalahi peraturan JPJ.

"Pemilik kenderaan yang memasang nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi itu dan dipanggil untuk memberi penjelasan dan diperiksa sebelum disaman.

"Orang ramai yang melihat kenderaan memakai nombor fancy ini juga boleh merakam gambar dan menghantar ke pusat aduan JPJ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ, hari ini.

Beliau berkata, pada 2016 sebanyak 13,606 kompaun dikeluarkan atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, manakala pada 2017 sebanyak 11,717 kompaun, 2018 (11,957) dan 2019 (31,716).

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 1:44pm
d