mutakhir

Tak mengaku perdaya pelaburan bitcoin

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan memperdaya dua individu mengenai pelaburan bitcoin pada 2016 dan 2017,

Tertuduh, Mohamad Fadino Khairuman, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Afandy Chin.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Fadino didakwa memperdaya K Mahendran dengan sengaja mendorong beliau untuk membuat pelaburan 11 unit bitcoin bernilai RM30,000 ke dalam laman web www.Bitkingdom.com.

Bagaimanapun, pelaburan berkenaan ditukarkan kepada matawang digital Aerus dengan secara paksaan walaupun mengetahui nilai matawang Aerus tidak setanding dengan pasaran matawang digital bitcoin.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azman dan tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.

Fahmi memohon jaminan ringan dikenakan terhadap anak guamnya berikutan perniagaan anak guamnya merudum dan perlu menyara 10 anak.

Tawfiq kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan kes disebut semula pada 4 Ogos ini.

Sementara itu, dalam kamar berasingan, Mohamad Fadino mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama terhadap seorang individu pada 2016 lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Mageswary.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Chan Saw Lin dengan memperdaya seorang individu untuk membuat pelaburan bitcoin bernilai RM150,000.

Tertuduh kemudian menukarkan pelaburan berkenaan kepada wang digital Aerus dengan paksaan sedangkan tertuduh mengetahui nilai matawang digital berkenaan tidak setanding dengan pasaran bitcoin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 4 Ogos ini.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 1:55pm
d