mutakhir

Kami hanya menumpang untuk terus hidup [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

RATUSAN keluarga etnik Rohingya mendiami kawasan Lorong Kulai Besar, di Kulai, sejak lebih empat tahun lalu hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk etnik Rohingya di kawasan berkenaan tinggal di puluhan lot rumah panjang bermula di Lorong Satu hingga Lorong Enam, yang disewa daripada pemilik tempatan.

Kebanyakan etnik Rohingya terutama kanak-kanak dan golongan wanita dilihat hanya duduk di bahagian hadapan rumah masing-masing sementara menanti ketua keluarga keluar mencari rezeki dan pulang membawa makanan.

Nur Kayyas Noor Islam, 34, berkata, dia sudah tinggal di kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu apabila bertemu jodoh dengan rakan senegaranya, Mohammad Husin, 26, dan kini dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia lima dan tiga tahun.

Dia yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, walaupun kehidupan mereka sekeluarga susah, namun keluarganya amat bersyukur kerana diberi peluang menumpang hidup di negara yang aman dan makmur.

Katanya, kehidupannya di Kulai berkali ganda lebih aman dan tenteram berbanding ketika tinggal di, Hawar Bil, Wilayah Maungdaw, Myanmar, dengan ketakutan menghantui penduduknya sepanjang masa.

"Walaupun di sini (Kulai), kami susah, namun suami reda dalam mencari sesuap nasi untuk keluarga termasuk melakukan pelbagai jenis kerja antaranya mengambil upah memotong rumput, membersihkan rumah selain membantu membina rumah penduduk.

"Alhamdulillah, suami dibayar upah antara RM40 hingga RM60 sehari dan dapatlah kami beli beras, sayur dan ayam untuk makanan dan keperluan harian," katanya ketika ditemui.

April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan dilaporkan berkata, sebanyak 13 kes positif Covid-19 direkodkan susulan saringan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di Lorong Kulai Besar dengan jumlah penduduk etnik berkenaan di situ berjumlah seramai 659 orang.

Bulan lalu pula, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, status pemegang kad UNHCR termasuk pendatang Rohingya tetap diiktiraf sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Beliau dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, seramai 101,584 etnik Rohingya adalah pemegang kad UNCHR di negara ini dengan angka itu membabitkan 56.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad berkenaan sehingga Mac lalu iaitu 179,521.

Sementara itu, seorang lagi penduduk etnik Rohingya, Mohd Rafik Samsuddin, 34, berkata, penduduk tempatan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar sering membantu etnik Rohingya di situ yang hidup dalam kesempitan.

"Kami tidak pernah meminta hak atau taraf seperti penduduk tempatan kerana hanya mahu menumpang hidup di sini dengan aman pun sudah memadai.

"Alhamdulillah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan negeri dan NGO pun ada membantu mengagihkan bekalan makanan ketika kawasan ini terjejas Covid-19.

"Kami tidak boleh bekerja secara terbuka kerana tidak dibenarkan dan hanya mengambil upah apa-apa pekerjaan rencam mengikut ihsan penduduk.

"Apa lagi ada golongan bangsa kami juga yang didapati terbabit dalam kes jenayah di Kulai, menyebabkan kami dipandang serong sesetengah penduduk," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 3:13pm
d