mutakhir

10 politeknik dapat pengiktirafan APACC

Oleh Suraya Roslan

SEPULUH Politeknik Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, akreditasi itu adalah pengiktirafan yang diberikan berdasarkan tujuh kriteria yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh institusi iaitu tadbir Urus dan pengurusan, pengajaran dan pembelajaran, sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, imej dan kelestarian, sumber pendidikan dan khidmat sokongan pelajar.

"Lebih membanggakan lagi, sembilan Politeknik menduduki kedudukan 10 terbaik tangga teratas daripada 26 institusi negara anggota yang memperoleh Anugerah Emas.

"Pengiktirafan antarabangsa APACC ini membuktikan Politeknik Malaysia mampu berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa dan juga sebagai penanda aras kecemerlangan institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik dari aspek kualiti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam terhadap Politeknik Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, 10 politeknik terbaik berkenaan adalah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Politeknik Kota Bharu (PKB).

"Selain itu, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Politeknik Seberang Perai (PSP), Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dan Politeknik Port Dickson (PPD)," katanya.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga membuktikan Malaysia memiliki kelompok institusi yang berkualiti tinggi dan ia menyaksikan usaha mengarusperdanakan aliran TVET.

"Ini adalah usaha terbaik bagi memastikan politeknik memiliki kelompok bakat yang berkemahiran tinggi.

"APACC adalah badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) yang beribu pejabat di Manila, Filipina ditubuhkan Seoul, Korea Selatan pada Disember 2004 dianggotai 17 negara rantau Asia Pasifik," katanya.

Katanya, prinsip asas inisiatif akreditasi dan persijilan APACC adalah untuk mengharmoni kualiti pendidikan TVET, mewujudkan standard setara dalam kemahiran yang diajar di institusi TVET, di samping memudah cara mobiliti pekerja di rantau Asia Pasifik.

"Akreditasi APACC adalah selaras dengan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 yang meliberalisasi pasaran serantau ASEAN.

"Penganugerahan APACC ini juga adalah akreditasi tunggal khusus untuk institusi TVET di rantau Asia Pasifik," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 4:49pm
d