mutakhir

Pemandu Myvi tak lari, tapi lapor polis

Oleh Ruwaida Md Zain

HANYA salah faham. Itu yang berlaku dalam kejadian didakwa kemalangan langgar lari di Taman Sri Pekan, Jalan Cendana 1, Kampung Batu Belah, Klang yang menyebabkan kanak-kanak lelaki berumur enam tahun menerima tujuh jahitan di kepala.

Ketua Polis Daerah Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, individu yang melanggar kanak-kanak itu bukan melarikan diri sebaliknya ke balai polis membuat laporan pada 3.15 petang semalam.

"Polis berharap masyarakat berhenti menyebarkan gambar yang tular itu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam dan isu perkauman.

"Kejadian itu ditularkan oleh ahli keluarga kanak-kanak itu yang tidak mengetahui maklumat sebenar.

"Polis menghubungi keluarga dan menasihatkan mereka agar tidak menularkan kejadian itu. Datuk mangsa juga datang ke balai polis untuk membuat laporan dan polis menerangkan perkara sebenar yang berlaku," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Nurulhuda berkata, dalam kejadian 3 petang itu, kanak-kanak terbabit memanjat pagar rumah dan meluru keluar ke jalan raya menyebabkan pemandu Perodua Myvi berusia 30-an gagal mengelak lalu melanggar mangsa.

"Kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan di kepala segera dibawa ibunya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan menerima tujuh jahitan. Mangsa dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga menasihatkan agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak demi keselamatan mereka di mana saja berada.

Semalam, gambar kepala kanak-kanak itu yang cedera dan nombor pendaftaran pemandu terbabit tersebar di media sosial kira-kira 5 petang.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 6:37pm
d