mutakhir

Teruskan kerja kebajikan arwah ayah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"SELAIN menguruskan perniagaan dan menjadi ketua keluarga, saya akan pastikan kerja kebajikan arwah ayah diteruskan sampai bila-bila," kata Mohamed Sadruddin Mohamed Salahudin, 17.

Mohamed Sadruddin ialah anak bongsu kepada Pengerusi Kesatuan India Muslim Terengganu Mohamed Salahudin Shahabudin, 54, yang meninggal dunia ketika sujud solat tahajud sebuah hospital di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dia akan berpegang kepada nasihat arwah bapanya supaya sentiasa membuat kebajikan dan bersedekah kepada orang yang memerlukan.

"Ayah selalu berpesan, jangan cakap tiada duit jika orang meminta bantuan atau pertolongan tetapi hulurkan sumbangan walaupun dalam jumlah yang sedikit.

"Semasa hayat, ayah banyak pusat tahfiz dan rumah anak yatim yang dibantu malah lebih 200 penduduk miskin menerima sumbangan daripada ayah setiap pagi Jumaat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Padang Negara, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

MyMetro hari ini melaporkan Mohamed Salahudin meninggal dunia ketika sujud solat tahajud sebuah hospital di Kuala Lumpur 5 pagi hari ini.

Arwah yang aktif dengan kerja kebajikan mendapatkan rawatan tiga hari lalu akibat serangan jantung.

Mohamed Sadruddin berkata, bapanya kelihatan sudah sihat semasa mendapatkan rawatan dan doktor hanya menasihatkan supaya bersenam apabila pulang ke rumah.

"Sepatutnya hari ini ayah keluar hospital kerana dia sudah pulih. Sebelum ini sudah dua hari saya, ibu, Habibou Nissa Abdul Rashid, 50, dan kakak, Nurul Rizwanah, 28, menjaga ayah di hospital.

"Sebab itu, semalam saya pulang ke Kuala Terengganu untuk membuat persiapan apa yang perlu untuk menyambut kepulangan ayah pada hari ini," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui bapanya meninggal dunia pada 5.15 pagi dan berasa sangat sedih kerana tidak berada disamping arwah bapanya itu.

Berita berkaitan

Meninggal dunia ketika sujud

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 7:03pm
d