mutakhir

Sembunyi diesel dalam tangki simpanan lori

Oleh Khalid Latip

GUNA taktik sembunyikan diesel subsidi di dalam tangki simpanan sebuah lori tiga tan yang diubahsuai.

Itu taktik seorang lelaki berusia 31 tahun yang berjaya diberkas anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima di Jalan Jakar di Sarikei, pagi kelmarin.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, kegiatan itu dibongkar susulan risikan dilakukan bersama anggota PPM.

Menurutnya, dalam operasi jam 10.20 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemandu sebuah lori.

"Diesel seberat 6,000 liter disembunyikan di dalam lori dipandu suspek dirampas. Nilai semua rampasan dianggarkan mencecah RM70,000.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki barangan kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP memberi amaran keras dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menjalankan aktiviti penyelewengan diesel.

"Jika didapati bersama, individu ditahan boleh didenda tidak lebih dari RM1 juta dan penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, kami mengalu-alukan maklumat orang ramai dan aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 7:09pm
d