mutakhir

Terima kasih hadiahkan pau pandan...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KETUA Polis Daerah (KPD) Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, hari ini meluangkan masa menziarah wanita warga emas yang sering memberinya pau perisa pandan, kira-kira 30 tahun lalu.

Nik Ezanee berkata, ibu bapanya memaklumkan wanita itu membawa bungkusan pau ketika mengunjungi syarikat keluarganya.

"Kali terakhir bertemu dengan wanita dikenali sebagai Ah Siong itu kira-kira 30 tahun lalu dan dia adalah penyelia di syarikat ibu bapa saya di Taman Sea, Petaling Jaya.

"Dia masih ingat dan mengakui mengikuti perkembangan saya di media selain turut menyimpan keratan berita mengenai saya.

"Ia benar-benar mengejutkan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rakaman video kunjungan Nik Ezanee ke rumah wanita berkenaan, hari ini, dimuat naik di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Dalam kunjungan itu, Nik Ezanee turut membawa bungkusan pau untuk diberikan kepada wanita berkenaan.

Status itu mendapat banyak pujian daripada orang ramai dengan rata-ratanya menyifatkan tindakan Nik Ezanee itu sepatutnya dijadikan sebagai contoh kepada seluruh masyarakat.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 8:45pm
d