mutakhir

Polis panggil Hannah Yeoh, Siti Kasim

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Hannah Yeoh dan Siti Kasim bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan dan pecah keamanan yang tular di Facebook (FB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman akan merakam keterangan kedua-dua pemilik akaun FB terbabit.

"Polis memulakan siasatan pada 11 Mac lalu selepas tular kenyataan Hannah Yeoh di FB yang mempunyai kecenderungan menghasut dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Huzir berkata, polis turut menyiasat kenyataan Siti Kasim yang sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, siasatan sudah dimulakan pada 27 Mei lalu mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat boleh membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

"Setakat ini, sebanyak 113 laporan polis sudah diterima berkaitan kenyataan Siti Kasim bertajuk 'Pis Way Of Dealing With A Problem'," katanya.

Katanya, orang ramai digesa tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan khabar angin atau berita mempunyai kecenderungan menghasut yang mendatangkan suasana tidak harmoni.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 8:53pm
d