mutakhir

Sarjan Jenain Subi meninggal dunia

Oleh Norzamira Che Noh

ANGGOTA polis, Sarjan Jenain Subi, 58, yang dibebaskan dari sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana didakwa menyebabkan kematian remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, 10 tahun lalu meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung 11.15 pagi di hadapan sebuah kedai serbaneka di Shah Alam ketika hendak membeli makanan kucing.

"Difahamkan beliau jatuh di hadapan kedai berkenaan serta cuba untuk bangun sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham baharu saja bersara secara pilihan pada minggu lalu dan masih menetap di kuarters polis di Seksyen 20.

Katanya, Allahyarham juga adalah kariah surau kuarters berkenaan dan sering membelikan makanan untuk kucing yang tinggal di sekitar surau berkenaan.

Menurutnya, sebelum bersara, Allahyarham bertugas di bahagian pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Polis Kontinjen Selangor berdukacita di atas pemergiannya dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Difahamkan, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar, Klang petang tadi.

Pada Disember 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan Jenain terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen pada September 2011.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan Proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 10:13pm
d