mutakhir

Che Hat dapat rumah lepas 13 tahun tinggal di pondok usang [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"ALHAMDULILLAH, dapat rumah baru dan lebih selesa." Demikian luahan Che Hat Jusoh, 55, dari Kampung Tanjung Lengkong, Selama, selepas kisah kehidupannya yang tinggal di pondok buruk tanpa bekalan elektrik, air dan kemudahan asas selama 13 tahun, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Paling menggembirakannya apabila dia bakal memperoleh kad pengenalannya selepas musnah dalam banjir ketika menetap di Malau, Kedah, lebih 20 tahun lalu.

Che Hat berkata, selama hampir 13 tahun dia menetap di pondok buruk di tanah bapa saudara tanpa sebarang kemudahan elektrik dan air bersih.

"Bukan tidak minta bantuan dari mana-mana pihak, tapi disebabkan ketiadaan kad pengenalan lebih 20 tahun lalu menyukarkan sebarang urusan permohonan bantuan termasuk rumah.

"Tak mahu susahkan sesiapa, saya tekad bina dan tinggal di pondok usang ini sejak 2007 di tanah dan kebun bapa saudara dan hanya berkerja sebagai tukang rumah," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

Turut hadir, wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Che Hat berkata, dia bersyukur apabila akan dipindahkan ke rumah baru dalam kadar segera yang mana sewanya dibiayai oleh pihak berkaitan.

Terdahulu kisah kehidupan Che Hat yang tinggal di pondok buruk tular di media sosial. Sementara itu, Mohd Akmal berkata, Che Hat akan dipindahkan ke rumah sewa berhampiran yang sewa dibiayai oleh MAIPk.

"Dalam masa sama JPN akan turut membantunya mendapatkan semula kad pengenalan manakala pondok yang dia tinggal akan dirobohkan.

"Pusat Khidmat Pas Selama juga akan memantau dan akan membantunya dari sudut lain," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 10:30pm
d