mutakhir

Si kudung berhati cekal [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

JIKA sebelum ini, dengan hanya sebelah kaki dan bertongkat, dia mampu memandu kereta beratus kilometer dan mengangkut botol baja yang ditempah oleh pelanggan.

Dengan keadaan kaki kiri yang sudah dipotong sehingga ke paras betis sejak tahun lalu akibat kencing manis, fizikal Hazrizul Abdul Rahman, 43, kini semakin sukar apabila sebatang jari kaki kanannya juga 'lenyap' disebabkan penyakit gangren.

Lebih menyukarkan lagi, tapak kaki kanannya pula mengalami luka teruk akibat terpijak paku karat dan terpaksa menjalani pembedahan membuang isi yang dijangkiti kuman.

Hazrizul berkata, dia kini bergantung 100 peratus kepada isterinya, Fauziah Ahmad, 37, untuk menguruskan rutin harian termasuk untuk ke bilik air.

"Sudah setahun saya bergelar orang kurang upaya (OKU) apabila kaki kiri dipotong, namun walaupun dengan fizikal sebegini, saya tetap membuat kerja dengan menjual baja. Malah, saya sendiri menghantar bekalan baja kepada pelanggan.

"Saya juga memandu sendiri kereta untuk mengambil stok baja di Narathiwat, Thailand dan apabila pandemik Covid-19 melanda, kerja itu terpaksa dihentikan kerana sempadan negara ditutup. Kini, saya hanya menghabiskan stok yang masih ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tiu di Machang, hari ini.

Bapa kepada empat cahaya mata yang berusia antara lima hingga 13 tahun itu berkata, sejak pandemik COVID-19, pendapatannya semakin terjejas.

Katanya, dengan masalah kesihatan dialami, dia sukar mencari pekerjaan lain.

Dia berkata bukan sahaja perlu menyara isteri dan empat anak, dia juga menjaga abangnya, Zaidi Abdul Rahman, 49, yang menghidap masalah mental dan mereka berdua bernasib baik kerana memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing sebanyak RM250 dan RM400.

"Sebelum ini, isteri ada berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah dengan menjual makanan dan minuman ringan. Tapi sejak kaki kiri saya dipotong tahun lalu, saya memerlukan bantuannya untuk menemani saya untuk urusan menghantar jualan baja kerana saya memakai tongkat dan ada kala sukar membawa banyak barang.

"Ia berterusan apabila kaki sebelah kanan pula bermasalah apabila sebatang jari dipotong dan ditambah dengan insiden terpijak paku menyebabkan saya terus terlantar dan kepada isterilah disandarkan seluruh harapan kini," katanya sambil memberitahu sudah menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu.

Hazrizul berkata, dia sentiasa berikhtiar untuk bekerja bagi menyara keluarga dan baru-baru ini, ada membeli empat arnab untuk diternak.

"Walaupun bergelar OKU, ia bukan tiket untuk saya tidak bekerja kerana saya masih lagi bergelar ketua keluarga dan saya akan melakukan pekerjaan yang termampu contohnya dengan memelihara arnab pedaging yang kurang memerlukan kudrat malah senang dijaga," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 9:47am
d