mutakhir

'Pocong' dalam dusun durian

Oleh Ahmad Ismail

PEMILIK dusun durian di Kampung Tengah, di Segamat, menggunakan unsur menyeramkan dengan meletakkan 'pocong' bagi mengatasi kecurian hasil tanaman di dusun duriannya.

Pemilik dusun durian yang juga pengusaha buahan terbabit, Rosman Budiman, 61, berkata, dia membeli dua meter kain putih tiga minggu lalu untuk dibentuk sebagai lembaga putih dan diletakkan di kebun duriannya itu idea menakutkan pencuri.

"Dua 'pocong' dewasa dibentuk dari kotak kertas setinggi 1.5 meter dan seberat 450 gram disaluti kain putih berjaya mengurangkan kehilangan buahan itu membabitkan 10 pokok durian pada musim ini.

"Sebelum ini, jika lambat memungut buah, pencuri akan melarikannya," katanya ketika ditemui di dusunnya, di Kampung Tengah, hari ini.

Katanya, kain putih diletakkan di dalam semak-samun dan pondok kosong sekitar dusun sudah memadai menakutkan penceroboh itu terutamanya di malam hari.

"Saya turut membakar gaharu bagi menimbulkan suasana menyeramkan sebelum pulang ke rumah setiap petang.

"Ada kalanya saya sendiri turut seram sejuk akibat bau gaharu jika datang berseorangan untuk mengutip durian.

"Kos penyediaan kesemua bahan berkenaan termasuk gaharu, hanya RM8 sahaja," katanya.

Rosman berkata, musim lalu, dia meletakkan patung harimau usaha menakutkan pencuri durian.

Bagaimanapun, langkah itu tidak berkesan.

"Malah, dua patung harimau yang setiap satu dibeli dengan harga RM350 itu turut dilarikan pencuri durian ,"katanya.

Dia terpaksa mencari idea berlainan tiap ketibaan musim durian.

"Jika pencuri hanya mahu makan durian, saya boleh halalkan... tapi kehilangan dalam jumlah yang banyak membuktikan ia (dicuri) untuk dijual," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 10:07am
d