mutakhir

Empat peniaga durian dikompaun RM4,000 gagal pamer harga

Oleh Mohd Rafi Mamat

EMPAT peniaga durian dikompaun RM4,000 kerana gagal mempamerkan tanda harga termasuk menggunakan alat tidak ditentusahkan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, pihaknya terpaksa bertindak tegas terhadap peniaga terbabit bagi menjaga kepentingan pengguna terutama penggemar durian di negeri ini.

Menurutnya, satu kes gagal mempamerkan tanda harga berlaku di Jerantut dan tiga kes menggunakan alat tidak ditentusahkan di Kuantan, masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

Katanya, Operasi Durian yang dilaksanakan pihaknya selama dua minggu lalu sebanyak 72 pemeriksaan dilakukan di Rompin (12), Temerloh (15), Jerantut (15) dan Kuantan (30).

"Kita akan terus melakukan pemeriksaan terhadap semua gerai menjual durian tepi jalan di beberapa daerah yang kini dibanjiri raja buah itu bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

"Semua peniaga yang menjual apa juga jenis produk tidak mengira buah-buahan, kuih, keperluan harian dan sebagainya perlu mematuhi peraturan terutama membabitkan tanda harga," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, peniaga durian perlu menggunakan alat timbang yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1973, sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM1,000 bagi perseorangan dan perkongsian, RM2,000 untuk syarikat dan perbadanan.

Ahmad Fitri menegaskan, peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, kompaun sebanyak RM1,000.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 1:08pm
d