mutakhir

Kapal Perikanan Vietnam ganggu tugas APMM banteras bot nelayan asing

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KAPAL nelayan Vietnam sekali lagi bertindak 'kurang ajar' apabila menceroboh masuk Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) perairan negara kira-kira 138.3 batu nautika dari Kuala Terengganu, kelmarin.

Malah, ketika usaha pengusiran dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terdapat sebuah lagi kapal Vietnam dipercayai kapal penguatkuasa mereka yang menghampiri dan menghalang Kapal Maritim (KM) Langkawi untuk menjalankan pemeriksaan.

Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, aset udara Bombardier CL415 juga terbabit dalam misi rondaan sekitar Laut China Selatan turut dikoordinasikan ke kawasan berkenaan untuk tinjauan udara.

"Menyedari aset laut dan udara APMM tiba, kumpulan penceroboh berpatah balik ke perairan asal dan satu daripadanya dikejar untuk dihentikan sehingga anak kapal KM Langkawi terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara.

"Bot nelayan berkenaan akhirnya akur dan berhenti untuk diperiksa sebelum sebuah Kapal Perikanan Vietnam (KN 261) bertindak biadap memasuki 4.5 batu nautika dari titik sempadan ZEE Malaysia dan mengganggu tugas serta cuba berunding supaya bot nelayan mereka dilepaskan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kedua-dua kapal dari Vietnam itu akur dan keluar dari perairan negara dengan amaran keras.

"Malaysia ketika ini masih lagi berpegang kepada dasar pengusiran terhadap penceroboh sama ada bot membawa migran atau pendatang asing tanpa izin (Pati) mahupun nelayan asing di mana mereka berisiko tinggi mendatangkan kluster baharu Covid-19.

"Bagaimanapun APMM kini sudah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tindakan menangkap boleh diambil terhadap mana-mana penceroboh perairan negara," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 3:31pm
d