mutakhir

Sekat akses, turun kandungan jika menipu [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 5,767 aduan berkaitan transaksi jual beli dalam talian sejak Januari hingga semalam.

Ia membabitkan 3,870 aduan berkaitan pengguna tidak menerima barang dan perkhidmatan, barang/perkhidmatan tidak seperti ditawarkan (656) dan harga barang/perkhidmatan mengelirukan (137).

Aduan diterima turut membabitkan barang tiruan (50), menaja skim piramid (3) dan lain-lain (1,038).

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius tindakan peniaga dalam talian yang menipu pelanggan terutama yang menggunakan platform marketplace.

Katanya, sehingga 3 Jun lalu, KPDNHEP sudah mengambil tindakan penurunan kandungan terhadap 202 peniaga dalam talian yang disiasat dan melakukan 182 sekatan akses.

"Kami memang ada penguat kuasa yang membuat pemantauan terutama selepas menerima aduan daripada pengguna.

"Oleh itu, pengguna yang mendapati peniaga online menjual barangan tiruan atau menipu, mereka boleh membuat aduan kepada KPDNHEP.

"Kami mempunyai enam saluran aduan jika pengguna mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan transaksi online," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen AEON 626, platform baharu digital AEON di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Runcit Malaysia, Shafie Shamsudin.

Nanta berkata, sehingga 1 Jun lalu KPDNHEP juga menerima 4,990 aduan berkaitan marketplace iaitu Facebook (1,517), Shopee (959 aduan), Lazada (660), Zalora (4), Instagram (356) dan lain-lain (1,497).

Menurutnya, peniaga dalam talian yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, mengenai garis panduan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bilik persalinan, katanya, ia masih dalam kajian dan akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 3:52pm
d