mutakhir

JKDM rampas bir RM3.17 juta

Oleh Faliqah Alia Radin Mohd

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan penyeludupan minuman keras jenis bir dianggarkan bernilai RM3.17 juta termasuk cukai dengan rampasan tujuh kontena di Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, 1 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, kejayaan itu adalah hasil pemantauan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) agensi dengan kerjasama Cawangan Narkotik.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap tujuh kontena berukuran 12.19 meter di pelabuhan berkenaan, pasukan menemui bir pelbagai jenama dimuatkan di dalamnya.

"Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill Of Lading) dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam kontena itu diikrarkan sebagai Packaging Bags, Plastic Bottle, Double Sided Tape, Belt dan Cup dan diimport dari sebuah negara di Asia Timur.

"Siasatan awal juga mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah selain tiada pengikraran borang import (K1) dibuat pengimport ke atas dagangan berkenaan. Tujuh kontena itu direkodkan tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 6 Jun lalu.

"Sejumlah 99,120 liter bir yang ditahan dianggarkan bernilai RM597,000 dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM3.17 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket berkenaan juga sedang dikesan.

"Sehingga kini, syarikat perkapalan telah disoal siasat bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana disyaki melakukan kesalahan terbabit dalam mengimport barang tak berkastam atau barang larangan selain memiliki barang yang mana duti eksais belum dibayar," katanya.

Katanya, orang ramai digesa membantu JKDM bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 4:13pm
d