mutakhir

Remaja lemas di Air Terjun Belukar Bukit [METROTV]

Oleh Zaid Salim

PERKELAHAN 18 sekeluarga di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Muhammad Affizie Irffanshah Mazita @ Jamal, 14, dari Kampung Padang Kemunting Batu Rakit, Kuala Nerus, ditemukan mati lemas di tempat kejadian oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut, berkata, sebelum kejadian mangsa bersama 18 orang ahli keluarganya dikatakan ke kawasan perkelahan itu dengan menaiki empat kenderaan pada jam 10 pagi.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa yang ghairah untuk mandi dikatakan berenang secara bersendirian.

"Kira-kira 15 minit berada di dalam air, bapa saudaranya berusia 47 tahun mendapati mangsa melambai sebelum tenggelam.

"Bapa saudara mangsa kemudian berusaha menyelamatkan mangsa dengan menyelam di lokasi kejadian namun gagal menemukannya," katanya ketika ditemui.

Katanya, usaha menyelamatkan mangsa turut dilakukan penduduk setempat namun gagal sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang yang tiba di lokasi kejadian jam 12 tengah hari.

Menurutnya, operasi mengambil masa selama 15 minit sebelum mangsa ditemukan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 4:22pm
d