mutakhir

Pesakit jantung, anak saudara ditahan angkara dadah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA bersaudara yang sedang leka menghisap syabu dalam bilik di sebuah unit pangsapuri di Desa Mentari, Petaling Jaya ditahan dalam serbuan, awal pagi hari ini.

Serbuan dilakukan pada 12 tengah malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas menerima maklumat.

Difahamkan, mereka menyelinap masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci sebelum menemui lelaki berusia 49 tahun yang juga pesakit jantung bersama anak saudaranya berusia 20 tahun di dalam bilik.

Dalam serbuan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor itu, pihak polis turut menemui dadah disyaki syabu serta peralatan menghisap syabu.

Kedua-dua lelaki terbabit antara 39 suspek yang ditahan dalam Op Tegar Bersepadu bermula jam 8 malam semalam hingga 6 pagi hari ini di pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan keseluruhan 102 individu termasuk tokan dadah berusia antara 15 hingga 50 tahun.

"Operasi dilakukan di beberapa kawasan 'hotspot' sekitar daerah Petaling Jaya selepas menjalankan siasatan dan risikan sejak dua minggu lalu.

"Hasil pemeriksaan seramai 83 penagih dan 19 pengedar dadah ditahan dan turut merampas 3.2 kilogram kanabis, heroin (112.1 gram), syabu (7.62 gram), ketamin (1.8 gram), pil erimin 5 (0.5 gram) dan cecair ketum (9 liter)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ezanee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 39C, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Polis dan AADK tidak akan berkompromi dengan gejala dadah dan operasi akan diteruskan secara berkala di kawasan tumpuan," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 4:24pm
d