mutakhir

Tun M, Mukhriz dan empat lagi gagal kekal status quo dalam Bersatu

Oleh BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan empat lagi gagal dalam mengekalkan kedudukan keahlian dan jawatan mereka dalam Bersatu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan mereka untuk injuksi ad-interim.

Keenam-enam mereka, Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Marzuki Yahya memohon perintah ad-interim bagi mengekalkan kedudukan masing-masing, sementara menunggu permohonan injuksi utama kedua-dua pihak didengar pada 9 Julai ini.

Hakim Datin Rohani Ismail menolak permohonan injuksi ad-interim untuk beberapa deklarasi sementara menunggu perbicaraan injuksi inter parte berhubung saman mereka terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dua lagi.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee, Amiruddin, Marzuki dan parti itu sendiri mengemukakan saman terhadap Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu dan pemangku pengerusi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan, terhadap pembatalan keanggotaan mereka dalam Bersatu, bulan lalu.

Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memberitahu pemberita bahawa kesemua enam plantif yang mendakwa mereka masih ahli parti berkenaan tidak memperoleh injuksi ad-interim yang dituntut.

Mahkamah selepas melihat kepada hujah semua pihak, membuat keputusan bahawa imbangan prinsip perundangan tidak mewajarkan ia dibenarkan berdasarkan kepada nas dan prinsip perundangan.

"Jadi status quo kekal hari ini, jadi kedudukan kami ialah mereka bukan lagi ahli parti itu disebabkan tindakan dan tingkah laku mereka sendiri, bukannya daripada tindakan kami atau Bersatu yang menamatkan keahlian mereka," katanya kepada pemberita selepas prosiding di kamar.

Peguam itu juga berkata bahawa anak guamnya dengan tiga lagi defendan sudah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka dan mahkamah akan mendengar perkara itu juga pada 9 Julai ini.

Beliau menjelaskan permohonan untuk pembatalan itu antara lain berhubung dengan kedudukan perundangan bahawa Bersatu tidak boleh dinamakan sebagai plaintif dalam saman itu kerana ia adalah salah.

Anda tidak boleh menjadikan sebuah pertubuhan sebagai plaintif, sebaliknya ia perlu sebagai defendan kerana anda memperkatakan pertubuhan itu sebahagian daripada yang melakukan kesalahan, katanya dan menambah bahawa permohonan itu difailkan, semalam.

Rosli selanjutnya berkata, defendan juga memohon untuk membatalkan keseluruhan tindakan kerana ia adalah satu tindakan buruk, remeh, menjengkelkan, melampau dan penyalahgunaan proses mahkamah, dan Dr Mahathir dan plaintif yang lain tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan undang-undang.

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa hari ini ditetapkan untuk perbicaraan bagi permohonan mereka untuk pelbagai perintah sementara.

"Malangnya kerana terdapat keperluan mendesak perkara itu difailkan minggu lalu, defendan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit dan penyerahan," katanya

Mohamed Haniff berkata, mereka mendapatkan perintah sementara agar status quo plantif dalam parti itu mulai hari ini perlu diterima agar tidak ada kerosakan sehingga perkara itu didengar pada 9 Julai ini.

Dalam penyataan tuntutan, Dr Mahathir, plaintif pertama, memohon pengisytiharan yang beliau adalah ahli dan Pengerusi Bersatu yang sah dan beliau kini Pengerusi yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan Bersatu akan datang.

Mukhriz memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah ahli dan Timbalan Presiden Bersatu yang sah dan calon sah untuk pemilihan Bersatu akan datang.

Syed Saddiq memohon satu pengisytiharan bahawa beliau adalah ahli dan Ketua Armada Bersatu yang sah manakala Maszlee dan Amiruddin memohon pengisytiharan bahawa mereka juga ahli parti yang sah dan Marzuki memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah Setiausaha Agung Bersatu yang sah.

Semua plaintif berkenaan juga memohon pengisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Muhammad Suhaimi di dalam Bersatu adalah terlucut, berkuat kuasa pada 28 Februari lalu dan/atau 29 Februari lalu menurut Fasal 10.2.3 perlembagaan parti.

Yang turut dimohon, perisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah dan bahawa Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu tidak terpakai di atas hal melucutkan/ memberhentikan keahlian semua plaintif.

Mereka juga memohon perintah injunksi dikeluarkan kepada ROS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen Bersatu seperti diperintahkan mahkamah secara serta merta, ganti rugi am dan relif lain difikirkan wajar oleh mahkamah.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 5:00pm
d