mutakhir

Sindiket pelaburan Forex kaut untung RM200,000 sehari

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dan Forex yang mensasarkan warga China di sebuah kediaman mewah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam serbuan 2 petang itu, polis menahan 12 individu termasuk enam wanita China dan Filipina.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sindiket yang mensasarkan warga China sebagai mangsa itu dikesan menjadikan negara ini sebagai pusat operasi mereka.

"Mereka akan membuat video secara langsung menerusi Facebook untuk menarik minat pelabur melabur di platform saham dan Forex yang disediakan.

"Modus operandi kumpulan ini ialah menjerat pelabur yang melabur dengan nilai yang tinggi," katanya ketika ditemui.

Nik Ezanee berkata, pada permulaan setiap pelabur akan diberi keuntungan, bagaimanapun selepas pelabur yakin dan melabur dengan nilai yang tinggi pasaran akan jatuh dan merugikan pelabur.

"Siasatan awal mendapati semua individu yang ditahan adalah pekerja yang dibayar gaji sebanyak RM11,000 sebulan bagi menguruskan pelaburan berkenaan.

"Sindiket dipercayai mengaut keuntungan RM200,000 sehari melalui pelaburan yang dilakukan rakyat China," katanya.

Menurutnya, semua individu berkenaan dikesan masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

"Semua individu berkenaan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 5:15pm
d