mutakhir

Covid-19: Kes pulih meningkat, hanya 14 kes baharu

Oleh Amir Abd Hamid

KES pulih daripada jangkitan virus Covid-19 di Malaysia terus meningkat dan hari ini bertambah 127 lagi pesakit sembuh.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih serta discaj daripada wad adalah sebanyak 8,000 kes atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari, terdapat 14 kes baharu dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 408 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan.

"Daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu dua warga negara Malaysia dan seorang bukan warga negara yang adalah pemastautin tetap.

"Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warga negara manakala empat kes adalah dalam kalangan warga negara Malaysia," katanya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Bagi tujuh kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warga negara adalah seperti berikut:

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – dua kes:

- satu kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-8455 dan kes ke-8508. Mereka adalah rakan serumah;

- satu kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-8498. Mereka adalah rakan serumah;

• Selangor: satu kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-8368. Kes baharu ini adalah ahli keluarga kepada kes ke-8368;

• Sarawak: dua kes saringan di tempat kerja sektor pembinaan;

• Sabah: satu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD Penampang;

• Perak: satu kes saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau.

Berikut pula adalah perincian empat kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warga Malaysia:

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: dua kes Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. Mereka kakitangan bertugas di sana;

• Sarawak - dua kes:

- satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching;

- satu kes saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 6:13pm
    d