mutakhir

Mujur mencarum dengan Perkeso...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEJADIAN kemalangan ketika menjadi penghantar makanan Februari lalu menyebabkan seorang bapa kepada dua orang anak tidak lagi mampu melakukan kerja berkenaan akibat kecederaan yang dialami.

Muhd Luqman Abdulrasyid Rafiee, 29, kini masih tidak mampu berjalan dan terpaksa bergantung dengan tongkat serta kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang mengalami patah tulang paha kiri serta terbelah dua pada bahagian tapak kaki difahamkan hanya dapat kembali berjalan dalam tempoh setahun.

"Saya sebelum ini ada buka perniagaan kucing secara kecil-kecilan namun ia hanya cukup makan, jadi saya cari pendapatan tambahan dengan menjadi penghantar makanan sejak Ogos tahun lalu.

"Namun malang tidak berbau, selepas kemalangan dan sehingga kini saya masih tidak dapat berjalan dan mungkin tak dapat menunggang motosikal seperti biasa lagi," katanya yang ditemui di pejabat Perkeso di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun Muhd Luqman, bernasib baik apabila dia mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sebulan sebelum kejadian kemalangan.

"Saya mencarum skim itu sebanyak RM49 sebulan namun menerima faedah cuti sakit lebih RM100 sehari. Alhamdulillah setiap bulan saya dapat lebih RM3,000, rawatan saya di hospital juga ditanggung Perkeso.

"Bagi saya, setiap penghantar makanan perlu mendapatkan perlindungan Perkeso kerana kerja seperti kami berisiko, kadang-kadang kemalangan berlaku bukan disebabkan kita, jadi perlu beringat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Shaharuddin Waled berkata Muhd Luqman adalah antara tujuh penerima faedah hilang upaya sementara (FHUS) di negeri ini dengan jumlah bayaran keseluruhan hampir RM30,000.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 6:29pm
d