mutakhir

Seludup PATI: ATM tak kompromi pegawai terbabit sindiket

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang terbabit kegiatan jenayah.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketegasan itu penting kerana ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

"Kami mengesahkan laporan media berhubung penahanan dua pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat ATM yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor.

"ATM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut supaya mereka yang terbabit secara langsung atau tidak dengan sindiket berkenaan dapat ditangani keseluruhannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penahanan mereka juga menunjukkan keberkesanan Operasi Benteng di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

"Ini membuktikan kesepaduan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan bukan saja dapat memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara.

"Malah, ia turut memperkasakan ketelusan dan nilai integriti terutama dalam kalangan pegawai serta anggota ATM dalam melaksanakan apa jua tugas diamanahkan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkaitan penahanan 18 penguat kuasa membabitkan pegawai dan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI pada 4 Jun lalu.

Berita berkaitan

Seludup PATI: 18 anggota penguatkuasa ditahan

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 7:21pm
d