mutakhir

Kementerian Luar ukir pelbagai kejayaan 100 hari

Oleh Amir Abd Hamid

SERAMAI 20,200 rakyat Malaysia dari 73 negara sudah dibawa pulang ke tanah air sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, usaha Wisma Putra memudah cara urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran Covid-19 berjalan lancar.

Beliau berkata, keakraban dengan rakan sejawat selain hubungan erat Malaysia dengan negara luar adalah faktor kejayaan proses itu.

"Dalam tempoh 100 hari saya di Wisma Putra, perkara paling saya amat bersyukur adalah berjaya mengeratkan semula hubungan dua hala Malaysia dengan beberapa negara.

"Terutamanya Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan China. Selain itu, Wisma Putra juga berjaya memudahcara urusan pulang lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara.

"Malah, saya secara peribadi sedang berusaha memposisikan Wisma Putra dan warganya sebagai pihak yang penting kepada agenda negara. Kalau dahulu, warga Wisma Putra diiktiraf, di bawah kepimpinan saya, saya mahu mereka lebih diiktiraf, InsyaAllah," katanya menerusi kenyataan media berbentuk slaid infografik semalam.

Tarikh 18 Jun semalam adalah hari ke-100 beliau berkhidmat sebagai Menteri Luar.

Hishammuddin berkata, biarpun lawatan rasmi ke luar negara ditangguhkan ekoran Covid-19 namun kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan virus itu antara Malaysia dengan banyak negara tetap dapat diperhalusi.

"Ini menerusi sidang video dengan rakan sejawat serta kunjungan hormat Duta negara ke atas Menteri dan Timbalan Menteri Luar negara yang berkenaan.

"Pelbagai bentuk kerjasama masih dapat diperhalusi menerusi perbualan atas talian dengan lebih 20 pemimpin tertinggi luar negara," katanya.

Selain itu katanya, demi memastikan keselamatan petugas barisan hadapan Wisma Putra di seluruh dunia semasa krisis Covid-19 sentiasa terjamin, inisiatif baharu, Malaysia Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) dilaksanakan.

Menurutnya, hasil inisiatif MDES itu, lebih 300,000 pelbagai peralatan perubatan diagihkan kepada petugas barisan hadapan Wisma Putra.

"Maka menerusi inisiatif MDES, petugas Wisma Putra di luar negara tidak perlu menggunakan peralatan perubatan milik kerajaan yang dikhususkan untuk frontliners Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bagi rakyat.

"Lebih sembilan juta peralatan perubatan secara percuma juga disumbangkan banyak negara melalui Wisma Putra," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menghubungkan pelbagai kementerian dengan kerajaan luar negara untuk manfaat bersama.

Sebagai contoh, katanya, menghubungkan Kementerian Kewangan dengan kerajaan UAE untuk bekerjasama dalam merencana pelan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

"Menghubungkan KKM dengan kerajaan UAE dan China untuk memperkasa perkhidmatan kesihatan; Kementerian Pendidikan dengan kerajaan United Kingdom untuk peluang pendidikan; serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menjadi 'first mover advantage' apabila vaksin Covid-19 ditemui," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 7:30pm
d