mutakhir

Godam sistem, 'release' arak RM2.6 juta

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras bernilai RM8.2 juta termasuk cukai di Pelabuhan Klang, pada 12 Jun lalu.

Sindiket terbabit dikesan menggunakan modus operandi baharu dengan menggodam sistem pelabuhan dan memanipulasi data untuk membawa masuk sembilan kontena arak itu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor).

"Hasil pemeriksaan ke atas semua kontena menemukan pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam.

"Nilai rampasan dianggarkan RM2.6 juta membabitkan 165,000 liter minuman keras dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM5.6 juta," katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, rampasan terbesar JKDM itu turut membawa kepada penemuan modus operandi baharu yang digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Siasatan awal mendapati sindiket dengan bantuan ejen perkapalan memanipulasi data di sistem pelabuhan. Mereka juga menggodam kata laluan sistem pelabuhan pegawai JKDM untuk meminda status kontena yang ditahan kepada 'release'.

"Bagaimanapun, kecekapan JKDM menggagalkan rancangan mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang giat mengesan ejen disyaki didalangi warga asing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan memaklumkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 12:23pm
d